Sunday, August 22, 2010

HUKUM MEMBACA TAKBIRATUL IHRAM


Apa hukum memulakan solat dengan bertakbir?
Kenapakah takbir di awal solat dinamakan Takbiratul-Ihram?
Iaitu juga dengan mengangkat tangan.
.
Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka sempurnakanlah wudhuk, kemudian mengadaplah ke arah qiblat. Setelah itu, ucapkanlah takbir…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).
.
Ia dinamakan Takbiratul-Ihram kerana (takbir yang mengharamkan) kerana ia mengharamkan semua perbuatan yang lain daripada perbuatan-perbuatan yang mesti dilakukan didalam solat, iaitu; apabila mula melafazkan ucapan takbir ini, tidak harus bagi kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan diluar solat seperti makan, minum dan sebagainya. Sabda Nabi; “Pembuka solat ialah bersuci, yang mengharamkan segala perbuatan yang lain (selain perbuatan solat) ialah takbir dan yang menghalalkannya semula ialah memberi salam”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah dari ‘Ali bin Abi Thalib r.a.).
.
Apa hukum mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram?
Bagaimana caranya yang sempurna yang dilakukan oleh Nabi?

.
Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram adalah sunat. Caranya ialah; kedua-dua tangan diangkat hingga setentang dengan dua telinga atau setentang dengan dua bahu, yakni boleh memilih mana satu dari dua cara ini kerana kedua-duanya ada dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
.
Cara pertama; hadis dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama tadi”.
(Riwayat Imam Muslim)
.
Cara kedua; berdasarkan hadis Abdullah bin ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila memulakan solat, baginda mengangkat dua tangannya hingga setentang dengan dua bahunya, begitu juga sebelum baginda ruku’ dan apabila baginda bangkit dari Ruku’. Namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya antara dua sujud”.
(Riwayat Imam Muslim)
.
Semasa mengangkat tangan itu, tapak tangan hendak di buka atau didedahkan dan dihalakan ke arah kiblat. Jari-jari tangan pula, menurut Imam Syafi’ie hendaklah diluruskan dengan direnggangkan secara sederhana antara satu sama lain (yakni tidak dirapatkan). Menurut ulamak-ulamak yang lain (antaranya Imam Ahmad), jari-jari tangan hendaklah dirapatkan (yakni tidak direnggangkan).[1] Imam Syafi’ie berdalilkan hadis dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- membuka jari-jarinya semasa takbir”.
(Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Hurairah)
.
Imam Ahmad pula berdalilkan hadis dari Abu Hurairah juga yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- semasa memasuki solat (yakni memulakan solat) baginda mengangkat dua tangannya dengan meluruskannya (tanpa merenggangkannya)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi). Menurut Imam at-Tirmizi; riwayat yang kedua ini lah yang soheh. Adapun riwayat pertama di atas berlaku kesalahan dalam riwayat (oleh seorang perawi bernama Yahya bin al-Yaman). Kerana itu, menurut Imam Ibnu Qudamah; pandangan yang tepat dalam masalah ini ialah pandangan kedua (iaitu pandangan Imam Ahmad).

No comments:

Post a Comment