Sunday, August 22, 2010

HUKUM IKTIDAL DI DALAM SOLAT


Apa makna I’tidal? Apa hukumnya?
.
I’tidal bermaksud; kembali semula selepas ruku’ kepada keadaan sebelum ruku’ sama ada seseorang itu menunaikan solat sambil berdiri atau sambil duduk. Jika seseorang itu menunaikan solat dengan berdiri, I’tidal ialah dengan ia kembali berdiri lurus/tegak selepas bangkit dari ruku’ sebelum turun untuk sujud.
.
Hukum I’tidal adalah wajib. Tidak sah solat tanpa melakukannya. Dalil kewajipan I’tidal ini ialah hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan tentang solat Nabi s.a.w.; “Apabila mengangkat kepala dari ruku’ (yakni bangkit dari ruku’), Nabi s.a.w. tidak sujud melainkan setelah berdiri dengan sempurna lebih dahulu (yakni berdiri I’tidal)”.(Riwayat Imam Muslim)
.
Bagaimana melakukan I’tidal dengan sempurna?
.
1. Apabila hendak bangkit dari ruku’, ucapkanlah; “سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ” (bermaksud; Allah mendengar (dan menjawab) orang yang memujinya) sambil mengangkat kedua tangan setentang bahu atau setentang dua telinga.
.
2. Apabila telah tegak berdiri, bacalah;اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ
“Ya Allah! Wahai Tuhan Kami, untukMulah pujian kami, (pujian) yang mengisi sekelian langit dan bumi serta mengisi apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu selepasnya” (Riwayat Imam Muslim).
.
3. I’tidal wajib dilakukan dengan tomaninah iaitu memastikan diri berada dalam keadaan tetap dan tenang dalam posisi I’tidal (berdiri lurus) itu sebelum turun sujud. Jika seseorang membaca zikir di atas semasa I’tidalnya, maka ia telah memenuhi tuntutan tomaninah semasa I’tidalnya.

No comments:

Post a Comment