Friday, March 11, 2011

PANDUAN IBU BERKERJA MENYUSU BAYI

KEMBALI bekerja bukan alasan ibu tidak menyusukan bayi mereka. Badan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan penyusuan eksklusif kepada bayi sekurang-kurangnya sehingga enam bulan pertama dalam hidup si kecil, seharusnya menjadi galakkan ibu bekerja menyusukan bayi mereka.Bagi majikan yang ada menyediakan tempat penjagaan bayi dan kanak-kanak di tempat kerja, waktu penyusuan mungkin tidak menimbulkan masalah, tetapi bagi majikan yang tidak menyediakan kemudahan sedemikian, ibu boleh memerah susu lantas menyimpannya untuk bekalan bayi menyusu ketika berada di tempat kerja.Susu boleh diperah menerusi pilihan manual, menggunakan bateri dan menggunakan elektrik. Anda perlu memilih mengikut yang anda mampu, selesa dan sesuai dengan gaya hidup anda, dan paling penting ibu perlu melakukan latihan terlebih dulu, menjadikan kerja itu sesuatu yang menyeronokkan dan bukan bebanan.


Bagi teknik memerah menggunakan tangan urut payu dara perlahan-lahan, usap ke arah bawah menghala ke areola, bermula di pertengahan payu dara sambil menggerakkan ibu jari perlahan-lahan. Apabila menghampiri pinggir areola, tekan ke dalam dan ke atas, susu akan memancut keluar daripada puting susu. Ulangi gerakan ini sehingga payu dara menjadi kosong, kemudian beralih ke payu dara sebelah.Untuk cara yang lebih mudah dan pantas, pilih pengepam yang anda selesa dan sebaiknya ibu boleh melaraskan darjah sedutan pada pam daripada sederhana hingga kuat, dengan mudah. Manual cara penggunaan seharusnya anda ketahui sebelum membelinya.Sebelum mula memerah, basuh tangan dengan sempurna dan cuci peralatan di dalam air panas diletakkan dengan sabun, perahkan susu ke dalam bekas yang mempunyai penutup. Simpan susu ke dalam sejuk sejurus selepas diperah itu.Perah susu sekerap yang boleh, setiap 3 hingga 4 jam untuk mengekalkan bekalan susu dan untuk hasil yang lebih memberangsangkan, bayangkan wajah bayi dan ingatkan diri sendiri tentang kenikmatan menjadi seorang ibu, boleh melancarkan pengeluaran.Susu yang diperah perlu disimpan sebaik mungkin. Ada ibu yang lebih selesa membuang saja susu yang diperah itu kerana tidak pasti tahap kebersihan susu berkenaan, tetapi perasaan itu harus dibuang kerana tabiat itu kurang baik apatah lagi ia semestinya dinikmati permata hati anda.
.
Untuk menyediakan perahan susu untuk bayi minum, sentiasa gunakan susu yang paling awal disimpan. Letakkan bekas perahan susu ke dalam mangkuk berisi air suam untuk memanaskan susu berkenaan, jangan memasak perahan susu ibu dan jangan panaskan susu di dalam ketuhar gelombang mikro.Ibu akan dapati lemak akan terpisah menjadi dua lapisan, justeru goncangkan bekas berkenaan untuk menggabungkan lemak susu dengan cecair lain di dalam susu. Rasa suhu susu dengan menitiskan beberapa titik susu di bahagian dalam pergelangan tangan dan sepatutnya suam kuku sebelum boleh dinikmati bayi anda. Apabila pulang ke rumah, susu berkenaan perlu disimpan di dalam peti sejuk untuk diberikan kepada penjaga bayi ketika anda ke tempat kerja keesokan harinya. Susu yang disimpan sebaiknya hanya digunakan ketika ketiadaan anda di rumah. Latih penjaga bayi anda untuk menyusukan bayi menggunakan perahan susu daripada botol, sudu kecil atau cawan kecil. Adalah lebih baik jika bukan anda yang memberi perahan susu berkenaan kerana bayi boleh menghidu perbezaannya dan mungkin tidak mahu menyusu dari payu dara. Ambil sedikit masa untuk memastikan penjaga anda memahami perkara seperti bagaimana cara menyimpan perahan susu dan cara menyediakan susu untuk bayi. Jangan beri bayi minum air suam, susu formula atau makanan lain selain daripada perahan susu dan paling mustahak nombor telefon (anda dan suami) untuk dihubungi pada waktu kecemasan.Tidak rugi menyusukan bayi anda kerana nikmat itu dapat anda rasai menerusi kemesraan, keseronokan dan kepuasan menjadi seorang ibu.
.
MENYIMPAN PERAHAN SUSU
.
Simpan susu dalam jumlah yang diambil oleh bayi pada setiap kali penyusuan.Label setiap bekas dengan tarikh, masa dan jumlah perahan.Jika susu dibekukan, tinggalkan sedikit ruang di dalam bekas untuk susu mengembang.Jangan mencampurkan susu yang baru diperah ke dalam perahan susu yang sudah disimpan.Sentiasa simpan susu di bahagian yang paling sejuk di dalam peti sejuk atau di dalam bahagian dingin beku (bukan di bahagian pintu).Jangan bekukan kembali susu yang telah dilarutkan..
.
TEMPOH SIMPANAN SUSU IBU
.
1. Suhu bilik - Sehingga 8 jam.
2. Peti sejuk 24 - 48 jam.
3. Dingin beku (peti sejuk dua pintu) - 3 bulan.
4. Peti sejuk beku lampau (-20) - 1 tahun.
.
(sumber : berita harian)

No comments:

Post a Comment