Sunday, August 22, 2010

PAKAIN YANG BERWARNA PUTIH


Adakah harus memakai pakaian berwarna lain dari putih?
.
Ya, Harus. Walaupun Nabi s.a.w. menyukai warna putih, namun dalam pemakaian baginda sendiri tidaklah baginda hanya memakai pakaian berwarna putih sahaja. Baginda juga memakai pakaian berwarna lain dari putih. Perhatikan hadis-hadis berikut;
.
1. Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. keluar pada suatu pagi dengan memakai kain yang diperbuat dari bulu hitam”. (Riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan Abu Daud)
.
2. Qailah binti Makhramah r.a. menceritakan; “Aku melihat Nabi s.a.w. dan pada badan baginda terdapat dua kain sarung yang telah lusuh (buruk) yang dicelup dengan za’faran, namun warna za’faran itu telah pun pudar”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
.
3. Abi Rimsah menceritakan; “Aku melihat Nabi s.a.w. dan baginda memakai dua kain burdah berwarna hijau”. (Sunan an-Nasai, Abu Daud, Musnad Ahmad)
.
4. ‘Aun bin Abi Juhaifa’ meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah s.a.w. memakai kain/pakaian berwarna merah dan aku lihat seolah-olah (putih) bercahaya dua betis baginda”. Berkata Sufyan (yang merupakan antara perawi hadis ini); “Kami berpandangan kain yang dimaksudkan itu ialah Hibarah”. (Riwayat at-Tirmizi, Imam Ahmad dan Imam at-Thabrani)
.
5. Al-Barra’ bin ‘Azib r.a. menceritakan; “Aku tidak pernah melihat seorang pun dari manusia yang lebih kacak dengan pakaiannya berwarna merah dari Rasulullah. Rambut baginda panjangnya hampir mencecah dua bahunya”. (Sunan an-Nasai, Soheh Muslim, Musnad Ahmad)

No comments:

Post a Comment