TERJEMAHAN SURAH AL ALAQ
(SEGUMPAL DARAH)
SURAH INI DITURUNKAN DI MEKAH DAN MENGANDUNGI 19 AYAT.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
1.Bacalah (ya Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang telah menciptakan.
2.Telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
3.Bacalah dan Tuhanmu amat Pemurah.
4.Yang mengajar (manusia) dengan pena.
5.Yang mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
6.Sesekali jangan (disangkal nikmat Allah). Sesungguhnya manusia amat derhaka.
7.Kerana dia melihat dirinya telah kaya-raya.
8.Sesungguhnya kepada Tuhanmu kembalimu.
9.Adakah engkau lihat orang yang melarang.
10.Hamba (Allah) ketika dia bersembahyang?
11.Adakah engkau melihat, jika yang melarang itu di atas petunjuk,
12.Atau menyuruh dengan takwa?
13.Adakah engkau melihat , jika dia mendustakan dan berpaling?
14.Tidakkah dia tahu, bahawa sesungguhnya Allah melihatnya?
15. Sesekali jangan begitu. Demi, jika dia tidak berhenti (dari kekafiran), nescaya akan Kami tarik ubun-ubunnya,
16. (iaitu) ubun-ubun yang dusta lagi bersalah.
17.Maka hendaklah dia memanggil perkumpulan nya (untuk meminta tolong)
18.Nanti akan Kami panggil Zabaniah (Malaikat-malaikat penjaga neraka)
19.Sesekali janganlah begitu, janganlah engkau ikut orang yang bersalah dan sujudlah (kepada Allah) dan hampirkanlah diri (kepadaNya).
KETERANGAN SURAH AL ALAQ
Surah Al Alaq merupakan surah yang pertama diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw. Ketika itu Baginda berada di atas bukit yang bernama di Gua Hirak di Mekah. Adapun Baginda sejak kecil tidak pernah menyembah berhala, sebagaimana yang di lakukan oleh kaumnya. Setelah berumur 40 tahun, maka pergilah Baginda ke Gua Hirak untuk bermunajat kepada Allah dan bersedih memikirkan nasib kaumnya yang hidup dalam keadaan jahiliyah dan rosak akhlaknya. Ketika di dalam gua tersebut, tiba-tiba datang malaikat Jibril as menyampaikan wahyu yang pertama , lalu Jibril as berkata kepada Baginda: “Bacalah!” Maka jawab Nabi Muhammad saw: “ Aku tidak pandai membaca” Sehinggalah pertanyaan itu berulang sebanyak tiga kali. Akhirnya di bacakan oleh malaikat Jibril as kepada Baginda surah Al Alaq ini mulai ayat 1 hingga 5. Ayat ini menganjurkan kepada kita supaya setiap orang tidak kira bangsa, pangkat, kedudukannya, warna kulit dan sebagainya perlulah mempunyai kepandaian dalam membaca dan menulis supaya menjadi masyarakat yang berilmu. Adapun Nabi Muhammad saw tidak pandai menulis dan membaca ialah satu hikmahnya serta hujah baginya , sekiranya baginda pandai menulis dan membaca tentulah Baginda akan dilemparkan tuduhan bahawa Al Quran itu disalinnya dan ditirunya dari kitab Taurat, Injil, Zabur dan sebagainya.
RUJUKAN
KITAB TAFSIR AL-QURAN NUL KARIM
RASM UTHMANI
Monday, February 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment